Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: "KESAHKU" (Biduk) - page 3



“KISAHKU”

            Biduk ku yang tadinya belayar dengan tenang dan laju, karam dihentam badai taufan sehingga terdampar ke tepi pantai sampai menyebabkan kemudi patah. Semua orang di daratan menyalahkan aku. Aku berlayar dengan bidukku mengharungi lautan samudera dengan tujuan mencapai pulau cita-cita, iaitu Bahagia. Bahagia yang diidam-idamkan oleh tiap-tiap manusia.


            Dalam perlayaran itu sewaktu aku memutar haluan hendak menuju sesuatu tujuan yang tertentu yang aku anggap baik, maka sekonyong-konyong dengan tidak aku sedari berembuslah badai taufan dengan amat dahsyatnya yang menyebabkan bidukku terhempas ke kanan dan ke kiri. Segala ikhtiarku daya upayaku, aku jalankan guna untuk bertahan menjaga supaya bidukku jangan karam.


Akhirnya setelah aku cuba bertahan berhari-hari dan bermalam-malam (lima belas hari dan lima belas malam lamanya) untuk menyelamatkan biduk itu, kesudahannya bidukku terdampar ke tepi pantai dan tidak sampai tenggelam di tengah lautan. Daya tahanku boleh dikatakan hampir habis.


Kerana, kalau sampai tenggelam di tengah lautan, tentu semenjak waktu itu akan berakhirlah riwayat hidup ku dan tidak ada satu manusia pun akan mengetahui kisahku ini. Kerana seluruh isi biduk itu akan ikut tenggelam dan termasuk aku sendiri.


Aku kehabisan tenaga. Biduk ku terdampar ke pantai dan di saat itu aku belum sedar betul. Dengan tidak usul periksa, semua orang di daratan menyalahkan aku.


Aku berusaha dan mencuba menerangkan keadaan yang sebenarnya akan tetapi tidak satu orang pun waktu itu yang mau mendengar keterangan ku. Aku tidak mengharapkan belas kasihan dari orang-orang itu, tidak, hanya ingin mengemukakan kebenaran ku kepada mereka itu, akan tetapi manusia itu tidak mau menerimanya.


Dan dari segi lain, angin badai taufan tersebut menyebabkan mulai berlakunya Peristiwa ghaib bagi diriku.


            Aku terkatung-katung seorang diri dan tiap-tiap orang yang menemui aku atau yang aku temui memperlihatkan rasa curiga padaku.


            Dan segala sesuatunya itu aku terima dengan segala kesabaran dan tawakkal. Curiga orang-orang itu menjadi bahan bagiku untuk mengoreksi diriku [nota Ain Mutiara: memperbetulkan diriku]  Aku harus menyesuaikan batinku dengan zahirku.  Dan beransur-ansur mulai ada orang yang mempercayai aku dan sudah ada pula yang menaruh perhatian pada ku.

            Bidukku dikuasai oleh orang-orang tertentu, bahkan sampai kepada kekayaan ku yang tidak seberapa dikuasai orang juga. Pihak-pihak yang tertentu tak mau mengerti dan tak mau tahu akan keadaan ku waktu itu dan terang aku rasakan ialah “Kemerdekaan ku dirampas oleh orang-orang yang tertentu itu dengan tujuan tertentu pula”.


            Aku tidak berdaya kerana tidak satu orang pun yang memihak padaku. Kebenaran ku dikalahkan oleh jumlah bilangan mereka yang banyak. Dan kebelakangan ternyata kemudi biduk ku patah, patah yang tak dapat disambung lagi, sehingga aku kehilangan kemudi (kesayangan ku) untuk selama-lamanya.


            Aku mengatakan maka sampainya patah kemudi itu disebabkan keranakan yang menguasai biduk ku itu setelah kemerdekaan ku dirampas, kerana setahuku bidukku tidak sampai sebegitu jauh rosaknya, akan tetapi oleh kerana dari semula orang mengatakan aku yang menyebabkannya, maka kesalahan tetap dipikulkan ke pundakku.

            Aku tahu bidukku rosak. Dengan mati-matian sewaktu di tengah lautan aku pertahankan supaya jangan sampai tenggelam dan akhirnya dengan tidak berdaya aku sampai ke tepi.


            Hanya aku yang tahu bagaimana hebatnya taufan itu mengamuk siang dan malam dan hanya aku yang bertahan dan lantaran aku juga aka biduk itu sampai ke tepi pantai. Dan sekalian yang terjadi dibiduk adalah akibat dari serangan gelombang dahsyat yang menghentam biduk ku itu. Kemerdekaan ku dirampas dan disingkirkan dengan paksa. Kesalahan ku waktu itu ialah aku tidak tegas, aku waktu itu di saat lemah tak berdaya.


Patahnya kemudi itu disebabkan tidak pandainya tukang memperbaiki biduk itu, lantaran tidak tahu hujung pangkalnya atau sebab lantaran tidak tahu hujung pangkalnya atau sebab musababnya. Dan akhirnya aku yang kehilangan, akulah yang menderita.


Kekuatan ku dengan beransur mulai timbul, kesadaran ku mulai datang dan keadaan itu tak boleh aku biarkan begitu sahaja. Aku mulai bertindak, mulai tegas dan segala hakku yang sengaja dirampas orang aku tuntut supaya kembalikan. Dan akhirnya dengan kesadaran dan ketegasan ku itu, walaupun tidak keseluruhannya, kemerdekaan ku mulai aku perdapat kembali dengan jalan mushawarah atau perdamaian.


Pengalaman dan penderitaan ku ditaraf yang pertama ini, menyebabkan aku mendapat kesimpulan bahawa “memang TUHAN itu ada”. Ini bukan berarti aku tak percaya pada Tuhan sebelumnya.

Contoh-contoh di antaranya, aku pernah tidak makan sewajarnya, akan tetapi tidak lapar, aku pernah dicari oleh seseorang untuk ditembak lantaran dihasut orang, aku bertemu dengan orang yang mencari aku itu, akan tetapi aku tak dilihatnya dan ada saja orang lain yang mempertahankan aku. Aku pernah mendapat tahu apa yang akan terjadi pada seseorang dan banyak pengalaman ku yang lain-lain yang menyebabkan aku mendapat kesimpulan yang seperti aku sebutkan di atas iaitu ‘”Memang Tuhan itu ada”.

Kemerdekaan ku telah ku perdapat kembali dan aku ingin membuktikan kebenaran ku kepada masyarakat, aku kembalikan ingatanku kepada seluruh peristiwa-peristiwa yang telah menimpa aku sejak dari semulanya, aku pelajari dengan saksama dan dengan pegangan ku ‘”Memang Tuhan itu ada”, aku merenung untuk mengadukan untung perasaan ku kepadaNya.


Aku insaf bahawa tidak ada seorang saksi pun akan aku ambil untuk megemukakan kebenaran ku, akan tetapi aku yakin, bahawa di balik saksi yang nyata itu tidak ada itu, ada saksi yang tidak nyata iaitu: yang ghaib, malaikat-malaikat yang telah ditentukan oleh Tuhan sebagai mata-mata untuk mengamat amati segala perbuatan kita manusia ini buruk dan baiknya.


Adalah aku waktu itu ibarat seorang musafir di padang pasir sedang kehausan membutuhkan seteguk air untuk melepaskan dahaga dalam pengembaraan untuk mencari sesuatu, Aku ingin hendak mencari-Nya, menemui-Nya Yang Menjadikan aku, sentana (jikalau) diizinkan-Nya aku menemui-Nya, aku akan menangis dan menangis sejadi-jadinya untuk mengadukan penderitaanku yang rasanya tidak pada tempatnya itu.


Zahir ku itu seolah-olah tak berarti, kerana dengan kepergiannya, aku sangat berasa kekurangan dan kehilangan keseimbangan dan aku terkatung-katung dalam kehidupan, aku sedari diriku, aku melihat keluar hampa perasaanku, kerana tidak ada rasanya erti hidup (dunia) bagiku, aku melihat ke dalam perasaan ku, dadaku penuh dengan daya rasa bermacam-macam, aku bertanya sendiri dan mendapat jawapan sendiri dan akhirnya aku temuilah diriku sendiri.


Tahulah aku sudah, bahawa peristiwa besar telah terjadi di diriku, cubaan besar telah terjadi di diriku, aku harus berkorban dan pengorbanan sedang berjalan dan perubahan besar sedang berkembang pula di diriku, terutama di batinku. Peristiwa ghaib sedang berlaku pula di diriku, padaku yang mungkin ada pula terjadi pada seseorang atau beberapa orang yang hidup sebelum aku. Segala sesuatu itu mesti ada waris mewarisi, patah tumbuh hilang berganti dantelah berlaku qadar Tuhan atas diriku, aku telah lulus dari ujian berat yang pertama berkat ketabahan ku.


Penderitaan ku lahir batin tak sanggup aku melukiskannya sebagai pengorbananku, aku harus mengembara melakukan sesuatu perjalanan yang jauh sebagai imbangan dari perjalanan batinku yang jauh pula.


Jauh di sana ku lihat ada cahaya, diriku tertarik akan cahaya itu dan aku mendekatinya, aku perbaiki biduk ku yang terdampar, kemudi aku tukar dengan yang baru dan aku mulai kembali mengharungi lautan luas untuk menuju cahaya yang terlihat oleh ku itu. Bahawa adalah yang aku lihat itu tak ubahnya seumpama cahaya lampu merchu _uar pada sebuah pulau yang sangat jauh di tengah lautan yang dapat kita lihat dari jauh, hilang hilang timbul atau hidup mati. Aku berlayar dengan kemudi baru menuju cahaya itu, aku berlayar dan berlayar, gelombang besar kecil harus ku lalui, kadang-kadang bercampur dengan badai taufan, perjalanan ku berbelok-belok, akan tetapi akhirnya berkat kesungguhan ku pulau di idaman ku tercapai jua.


Sering pula aku terdampar ke kiri dan ke kanan, akan tetapi syukurlah tidak smapai membawa bidukku pecah, kerana tiap-tiap pengalaman ku aku ambil jadi pelajaran untuk melanjutkan perjalananku.


Dan begitulah setelah lebih kurang tujuh tahun lamanya aku berlayar, aku mendarat di pulau cahaya itu, aku takjub dan hairan cahaya yang aku lihat dari jauh hidup dan mati atau hilang timbul itu, rupanya di sana tidak pernah mati atau hilang-hilang timbul, malahan hidup terus, aku berjalan selangkah demi selangkah sambil memperhatikan keadaan sekeliling ku dan cahaya yang menjadi perhatian ku itu aku selidiki dengan teliti dan tahulah aku sudah rahsianya, sebab-sebabnya maka dia kelihatan hidup mati dari jauh dan rahsianya telah menjadi rahsiaku.


Aku berjalan terus sambil memperhatikan yang lain-lain, aku melihat sebuah rumah dan aku ingin mendekati rumah tersebut. Melihat dan memperhatikan akan segala yang aku lihat (di situ) anggapan ku tentu ada penghuni rumah itu.


Aku ingin hendak menemui penghuni rumah itu, hendak meminta permisi memasuki perkarangannya.


Aku mencari dan mencari, aku perhatikan sekeliling, namun yang aku cari tidak juga bertemu.


Aku memasuki perkarangannya dengan perlahan-lahan dan hati-hati sambil mencari penghuninya. Aku naiki rumahnya, kalau ada dia di dalam, aku maju selangkah lagi, masuk dengan : Assalamu’alaikum, akan tetapi tiada yang menjawab salamku.


Aku sudah berada di sana, akan tetapi yang aku cari tidak ketemu. Aku buka pintu kamarnya, banyak yang aneh-aneh aku lihat di dalamnya, namun dia yang aku cari tidak juga ku temui.

Aku teruskan perjalananan ku ke kamar yang lain, sampai seluruh kamar telah aku masuki dan banyak yang aku senangi yang terlihat olehku di dalamnya dari muka aku terus ke belakang dan terus ke bawah dan berjalan lagi sekelilingnya, namun dia yang aku cari tidak juga bertemu.


Aku bingung, aku hairan, orangnya tidak nampak, akan tetapi tanda-tanda keadaannya banyak bertemu olehku, banyak yang aku ingini, yang aku lihat dalam kamar-kamar yang aku telah periksa itu, akan tetapi aku tak berani mengambilnya.


Akhirnya aku duduk termenung di bawah naungan cahaya tadi sambil menanti nantikan, kalau kalau penghuninya datang.


Dalam kesunyian itu tiba-tiba seolah-olah mendengar suara “Hai insan yang sedang merenung, apa yang dinantikan lagi? Ketahuilah olehmu, bahawa sesungguhnya DIA yang engkau cari itu, sebenarnya tidak ada, bagaimanan DIA akan ada, kerana DIA tidak berupa dan bertampan, tidak beranak dan tidak pula diperanakan. Kembalilah engkau ke tempat tadi, kerana dengan izinnya juga engkau sampai, dan pergunakanlah kesempatan ini sebaik-baiknya. Bahawa DIA itu ada dalam tiada, ada dalam sebutan tak ada dalam kenyataan”.


Aku tersentak dari lamunanku, aku sedar dan insaf dan dengan tenang aku langkahkan kakiku kembali ke tempat semula iaitu ke rumah yang isinya telah aku ketahui itu.


DIA ada tetapi tidak ada,
DIA ada dalam tiada dan
tidak dalam ada.

Aku perhatikan segala sesuatunya yang ku lihat dengan saksama dan tahulah aku sudah bahawa di sanalah rupanya letak kunci dari segala kunci, pusat dari segala pusat, dari sana titik permulaan dan ke sana pula pengembalian segala sesuatunya.

Sungguh sangat syukur ku kepada NYA yang menjadikan aku. Banyak sudah rahsia NYA yang aku ketahui dan aku mendapat tali pegangan.


Dengan tali pergantungan ku itu aku kembali dari penggembaraan ku dan rahsia-rahsia yang telah aku ketahui itu akan aku pergunakan sebagai amalan ku.


Jalan ke sana telah terbuka bagi ku, kesimpulan ku sekarang, ‘Di mana aku berada di sana ada DIA’.


Dan aku akan mencari terus yang belum ku ketahui, kerana aku yakin seyakin-yakinnya, kalau jalan ke sana telah terbuka bagiku pasti sudah jalan-jalan lain sudah terbuka pula.


Keinginan ku dan do’aku semoga TUHAN yang aku sembah, yang menjadikan aku, memanjangkan umur ku, memelihara kesihatan ku dan memberi rezki, kerana hasratku sangat besar supaya manusia yang banyak ini akan mendapat pula seperti apa yang telah aku dapat, dan terbuka pula jalan baginya, bagi yang mau mencarinya kiranya, ALLAH akan menerima segala amalan ku.

 Pusat dari segala pusat telah aku ketahui, kunci dari segala kunci telah aku punyai pula.

Banyak sudah yang ku ketahui, rahsianya telah menjadi rahsiaku, ilmunya telah menjadi ilmu ku dan satu persatu akan ku cuba memecahkannya dengan anak kunci yang telah ada padaku.


Dia memerintah seluruh alam termasuk alam ku sendiri. PerintahNya berjalan dengan sendirinya dengan qudrat dan iradatNya apa yang dikehendakiNya terjadi, kerana Dia MahaKuasa, Maha Besar, Maha Mengetahui.


Di manakah batas antara aku dengan dia? Setelah aku selidiki dengan saksama dengan ilmuNya yang telah ada padaku tahulah aku bahawa dinding atau batas aku dengan dia hanya zahirku atau lebih tepatlah ku katakan hanya bulu dan kulitku.

Akhirnya dapat aku katakan “Aku telah menemui diriku, rahsianya telah aku ketahui dan aku telah kembali dari sana dan dinding antara aku dengan DIA telah tembus”.

                                                                         Palembang
                                                                 1hb. Ogos, 1962







No comments:

Post a Comment