Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Kecerdasan kita menjadikan Dia besar - page 34




Kecerdasan kita menjadikan Dia besar, memperkembang Dia, menjadikan Dia kita bahkan lebih dari itu, kerana dia ada di dalam dan di luar kita.

DIA sedikit, kita perbanyak dia setitik kita gunungkan, sekepal kita lautkan, sudah banyak kita perbanyak, kerana Dia ada di langit, ada di bumi dan di mana-mana sahaja.

Gali dan pelajarilah yang sedikit itu sampai dikuasai hendaknya.

Mereka bertanya kepada ENGKAU (Muhammad) mengenai “Roh”  Jawablah; “Tiada aku diberitahu tentang itu kecuali sedikit.” Bukankah yang sedikit kata Tuhan kepada Muhammad itu, sama dengan yang sedikit yang tak bisa diperdayai oleh syaitan iblis? Muhammad Rasulullah diwahyukan TUHAN kepadanya rahsia yang sedikit. Ini kepada manusia MUHAMMAD yang telah diangkatnya, dijadikan utusannya.

Si iblis tahu yang sedikit itu, sewaktu mula manusia pertama dijadikan TUHAN. Diakuinya bahawa ‘yang sedikit’ itu tak sanggup DIA memperdayakannya memusnahkan, kerana dia kekal dan abadi. Dan iblis tahu kejadian manusia di luar yang sedikit itu berasal dari tanah dan tidak kekal dan akan hancur kembali ke asalnya iaitu ke tanah. Dari itu makanya mudah dia memperdayakan manusia. Jadi bagi yang sekarang, yang amat penting  TAHU. Sekali lagi TAHU dan itulah ilmu.

Ketahuilah yang sedikit itu ada padamu dan menjadi tahulah engkau akan keadaannya. Tahulah di DIRI, tahulah di BADAN. Kalau tadinya pengertian kita itu kepunyaan badan maka ketahuilah olehmu bahawa badan itu kepunyaan Diri. Untuk mengetahui selanjutnya, pisahkanlah dahulu yang mana yang badan dan yang mana yang diri.

Berdirilah pada DIRI dan jadikanlah badan itu Diri sendiri yang penuh mengandungi Rahsia dan banyak mengetahui Rahsia.

Dia – buta – pekak - Dia bisu - Dia tak berakal - Dia tak bersuara, tetapi dia tahu. Tahu itu yang tak ada pada kita. Dari itu dijadilah orang yang tahu sampai serba tahu. Untuk itu hendaklah kita ketahui Dia dan hiduplah berserta Nya dan dengan Dia. Berbuatlah dengannya, walau apa yang dilakukan dan jangan tinggalkan Dia, walau di mana kita berada.

Ke-ada-an Nya bersama kita terbatas, tertentu, ditentukan oleh yang menentukan. Dan lantaran keadaan kita pula makanya Dia berdiri bersama kita dan itulah diri kita yang berdiri dengan sendirinya, yang tak lekang oleh panas dan tak lapuk oleh hujan, yang kekal dan abadi, yang tak terpedaya oleh syaitan iblis, yang sanggup menguasai keadaan, menguasai masa, anti peluru kebal, sanggup menundukkan musuh, bahkan harimau bisa sujud kepadanya. Bukankah lantaran Dia makanya diperintahkan sujud makhluk-makhluk lain termasuk malaikat.

 Suaranya mengguntur, katanya beriman, tindakannya menuju kepastian, kalau tak dikatakan pasti, baiknya luar biasa, tetapi bengisnya bukan kepalang, hati-hatilah kepadanya, jagalah jangan sampai dia marah, kerana kalau dia marah dia marah benar dan bukan marah-marahan.


Orang biasa, tak sanggup menghadapinya, kerana Dia tahu, dia banyak sudah Tahu kerana dia berilmu. Hanya orang yang berilmu bisa menghadapinya inipun bergantung kepada dalam dangkalnya ilmu orang itu, tinggi rendahnya tingkat ilmu orang itu dan benar tidaknya dasar ilmu orang itu. Ilmu yang tak benar mendekatinya pasti hancur dan akan hancur dengan sendirinya bila berhadapan dengannya apalagi orang mempergunakan apa yang dinamakan ilmu akal, untuk menarik keuntungan untuk diri sendiri.
Dia berfirasat, firasatnya halus dan dalam, mempunyai kesanggupan di segala bidang, ahli di dalam segala hal ahwal, bisa menundukkan lawan dan kawan dan bisa menyesuaikan diri di mana-mana. Dan banyak lagi, masih banyak lagi Rahsianya yang patut diketahui.

Pokok-pangkal dari keluar-biasaan itu ialah yang dikatakan sedikit oleh TUHAN kepada MUHAMMAD RASULULLAH yang tak terpedayakan oleh syaitan iblis itu. Bahkan iblis bisa lenyap dan hancur dibuatnya.

Itulah Dia “Hidup” yang menghidupkan kita di dalam. Dia meisi jalannya kehidupan kita, meliputi keseluruhannya, dan ditutup dan dibatas oleh bulu dan kulit kita. Dan bagi kita orang nyata, alirannya itu aliran negatif namanya, tidak nyata.


Ilmu pengetahuan tak dapat memungkiri akan keadaannya aliran ghaib itu. Aliran ghaib kita namakan kerana berasal dari yang ghaib dan mengandungi rahsia ghaib.

Bagi yang ingin mengetahui RAHSIA nya, apalagi untuk menguasainya adalah menjadi tugasnya, menjadi kewajipannya mencari dan mempelajari dari negatif ke positif dari dari tidak nyata kepada kenyataan dan sampai mempunyai itu tenaga ghaib, bahkan bisa sampai menjadi orang “AJAIB”.


Dan untuk menjadi orang ajaib, setidak-tidaknya mempunyai tenaga ghaib. Orang harus mempelajari kejadian sendiri lebih dahulu. Dapat memahami perbezaan badan dan diri, antara yang hidup dan yang mati,  antara yang akan kembali dan yang akan pulang, sebab masing-masing akan pulang dan akan kembali ke asalnya.


Untuk mengetahui yang mana badan, semua orang tahu sudah. Akan tetapi pengetahuan kita mengenai badan itu kita tingkatkan kepada ke-ada-an nya yang terdiri dari, kalau kita mulai dari luar dan ambil kesimpulannya iaitu: bulu, kulit darah daging – urat – tulang - otak besar - otak kecil – hati – jantung – limpa - rabu empedu. Dan adalah letaknya dan duduknya bahagian-bahagian badan itu begitu baik aturan dan susunannya, kerana disusun dan diatur oleh yang MAHA PENYUSUN dan MAHA PENGATUR, iaitu YANG MAHA PENCIPTA, ALLAH.


Untuk mempelajari, kita mendapati barang yang sudah jadi, yang sudah ada. Tak perlu kita fikirkan lagi bagaimana pembikinnya. Kita pelajari barang yang sudah ada, ada pada kita dan ada pada orang lain. Yang dikehendaki dalam hal ini ialah kecerdasan dan kearifan dan berperasaan. Kecerdasan, kearifan dan Perasaan dan pengetahuan lain-lain nanti (buku-buku - kitab-kitab) akan membenarkan akan adanya itu Hidup, itu Diri, itu yang ghaib di dalam batang tubuh kita yang mempunyai aliran hidup yang tersendiri menjalani jalan yang telah ada, yang berbataskan menurut batas yang telah ada pula, iaitu bulu dan kulit kita.


Dan untuk memastikannya atau membawanya kepada kepastian, maka kita harus membuka pintu baginya, supaya kita dapat mengetahui ke-ada-an nya yang sebenarnya. Membukakan pintu bererti memberi jalan buat Dia keluar.


Cara nya tidak boleh dengan dipaksakan, umpamanya melukakan sedikit anggota badan. Dengan cara begitu kita tidak akan menemuinya kerana dia tidak mahu badannya dirosakkan. Dia sendiri yang berada di dalam sangat ingin sekali hendak keluar, ingin bebas tetapi tidak lepas. Dia sangat berasa tertekan, terkurung, terkongkong, terjajah, tersiksa oleh kerana jalan hidup yang salah kita bawakan di luar.


Dia tahu, tetapi tak berdaya oleh kerana terkurung. Anak kunci dipegang oleh orang luar. Kita pelajari Dia, kita ketahui ke-ada-an nya dan kita cari anak kunci untuk membukakan pintu baginya.


Kalau pintu telah terbuka dan jalan untuk keluar telah ada padanya, tentu dia akan jalan keluar dengan sendirinya, sedangkan yang dinamakan anak kunci tetap berada di tangan kita. Dan hidup matinya di luar bergantung kepada kita. Dia akan pergi dan dia akan kembali. Dia pergi, akan tetapi tetap duduk di tempatnya.



Setelah pintu terbuka dan Dia telah keluar, maka Perasaan, kecerdasan dan kearifan kita akan membenarkan dan mengakui akan ke-ada-an nya.


Perasaan kita yang akan menangkapnya, mengetahuinya dan menentukan yang mana yang dia yang sebenarnya. Setelah terasa dan merasakan jalan keluar-masuknya itu, dapatlah kita membezakan mana yang dia dan mana pula yang kita, mana yang diri dan mana pula yang badan. Dan itulah dia yang sebenarnya Aku yang telah mendapat pengakuan. Aku yang terahsia letaknya dan banyak mengandung rahsia. Aku telah menemuinya dan bertambah kuatlah aku sekarang, kerana dia benar-benar telah menjadi Aku. Dan dia telah lahir, yang dinantikan telah datang, itu yang benar, dibenarkan oleh Yang Maha Benar, dan Akulah itu.


.

No comments:

Post a Comment