Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Aku adalah Pelita dalam rumah ku sendiri - page 111

Aku adalah pelita dalam rumahku sendiri. 



Dikatakan ada, aku tidak ada. Dikatakan tidak ada, aku ada. Keadaanku dalam tiada. Ada dalam sebutan, tidak ada dalam kenyataan. 



Aku bernama, dan namaku setelah jadi manusia ialah Bagindo Muchtar, pemberian dari ayahku dan hasil perpaduan dari ibu bapaku dengan izin Tuhanku. Pertemuan dari dua titikibu bapaku yang berasal dari titisan air yang memancar dari ibu bapanya pula tadinya, telah memancarkan dan menitiskan aku pula. 



Aku tak tahu bilamana aku dijadikan. Yang aku ketahui, aku sudah jadi, aku sudah ada. Dan aku telah dewasa dan menjalankan kehidupan sendiri. Pengalaman perjalanan kehidupanku yang menyebabkan aku ingin mengetahui aku yang sebenarnya. Dan begitulah setelah aku banyak mengadakan perjalanan keluar daerahku, sedangkan yang aku cari tak pernah bertemu, maka aku mulai mempelajari keadaanku, badan diriku.


Dalam perjalanan keluar aku pernah rasanya mendarat di sebuah pulau yang ada lampu nya. Aku dapat mendarat di sana setelah melalui badai taufan, laut yang bergelombang dan beralun dan aku tertarik akan cahaya lampu yang ada di sana. 


Aku naik ke darat. Selangkah demi selangkah aku langkahkan kakiku menuju lampu yang kelihatan dari jauh itu. Alangkah takjubnya aku sewaktu aku berada di bawahnya. Di sana rupanya lampu itu tak pernah mati, melainkan hidup terus. Hanya dari jauh kelihatannya hidup-mati. Aku ingin hendak mengetahui rahsianya. Dengan penelitian yang seteliti-telitinya, dapatlah aku mengetahui akan sebab-sebabnya lampu tersebut dari jauh kelihatan hidup mati.



Di SANA lampu itu hidup terus dan pada keliling lampu ada bola, yang kaca sebelah bahagian dihitamkan dan bahagian lain dibiarkan begitu sahaja. Dan bola itu berputar terus sehingga bagi orang yang melihat dari jauh, pada giliran putaran gelap lampu itu mati dan pada giliran yang tidak diapa-apakan, hidup, dan begitulah seterusnya. 



Aku memandang ke jurusan lain. Maka tak jauh dari menara lampu itu, kulihat sebuah rumah dengan dilingkari kawat berduri sekelilingnya. 



Pada hematku, tentu ada orang yang menunggu rumah tersebut. Dengan perlahan tapi pasti, aku langkahkan pula kakiku selangkah demi selangkah menuju ke rumah itu. Aku dapat menemui pintu untuk masuk ke dalam pekarangan rumah itu sambil melihat orang penunggunya.


Dengan ucapan ‘salam’ yang keluar dari mulutku, aku naiki rumah itu melalui anak tangga dan sampailah aku ke atas rumah tersebut. Salamku tidak dapat jawapan dan aku lakukan berulangulang mengucapkan salam. Tiada yang menyahut. 


Aku sampai di muka pintu untuk masuk ke dalam. Dengan tak kusedari, pintu kutolakkan. Pintu terbuka dan kelihatanlah olehku apa yang ada di dalam bahagian muka rumah itu yang merupakan satu kamar, namun orang yang kucari tak juga nampak. Tanda-tanda banyak menunjukkan padaku bahawa tak boleh tidak tentu mesti ada orang yang menghuni rumah itu.



Aku melangkah terus ke dalam dan aku sampai pula kepada sebuah pintu. Tanganku membuka pintu itu pula dan aku berada dalam kamar lain. Dan apa yang nampak olehku di Sana, semuanya menakjubkan pemandanganku kerana apa yang kulihat itu belum pernah kulihat, tidak ada di daratan. Namun, orang yang kucari tidak juga ketemu. Aku teruskan perjalananku menurutkan gerak langkah kakiku. Aku sampai ke dapurnya, kamar mandi dan semua airnya tak pernah kering. Namun, aku tak juga bertemu dengan orangnya. Aku kelilingi pulau itu kalau-kalau orang yang kucari lagi memanjat atau mencari kayu bakar. Dia yang kucari tak kujumpai.


Dalam pada itu aku sampai kembali di tempat perahuku mendarat. Hari berembang petang juga. Aku tak putus asa. Aku duduk merenung dan merenung sambil memikirkan ke mana gerangan penghuni pulau itu. 



Tiba-tiba, antara sedar tak sedar dalam lamunanku, aku mendengar suara yang bunyinya , " Hai anak, apa yang kau nantikan ? Siapa yang engkau tunggu ? Ketahuilah olehmu, bahawa yang kau tunggu dan nantikan itu tak akan kunjung datang. DIA ada tetapi TIADA.  ke - ADA - an nya dalam tidak ada, tidak berupa tidak bertampan, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dengan izin NYA jua makanya engkau sampai di sini. Sekarang kembalilah engkau ke rumah tadi. Hari sudah petang juga, sedangkan engkau harus kembali. "


Aku sedar dari lamunanku. Masih teringat-ingat di telingaku kata-kata, " Apa yang engkau tunggu dan apa yang engkau nantikan ? Yang engkau tunggu dan nantikan itu tak akan kunjung datang. Dia ada tetapi tiada. Ada dalam sebutan tidak ada dalam kenyataan kerana tidak berupa dan bertampan dan lain sebagainya"



Benarkah aku sudah berada DI SANA ? Aku ingat, aku hendak mencarinya, akan mengadukan halku dan minta keadilan mengenai peristiwa-peristiwa yang terjadi atas badan diriku belakangan ini yang aku berasa tidak patut. Aku melangkah kembali tetapi pasti menuju ke rumah yang telah kumasuki tadi. Aku naiki kembali rumah itu. Aku memasuki kamar, maka dengan memperhatikan akan isinya dan seterusnya memasuki kamar lain.




Aku berfikir, " Apakah yang akan kuambil untuk dibawa ke daratan? Segala apa yang ada di situ aku mahu semuanya, akan tetapi bagaimana aku akan membawanya, perahuku kecil.” Aku merenung dan merenung, sambil memandang dan berfikir juga, apa yang akan kuambil. Kembali aku mendengar suara, “Hai orang muda, lekaslah. Ketahuilah olehmu matahari sudah hampir terbenam menandakan malam hampir tiba. Kau bersegeralah untuk kembali, kalau tidak nanti engkau tak tahu jalan."


Aku perhatikan dan perhatikan lagi apa yang akan kuambil. Maka terpandanglah aku kepada sebuah anak kunci tersangkut di dinding rumah itu. Maka aku ambillah anak kunci tersebut dengan pengharapan, dengan anak kunci di tangan aku akan bisa membuka pintu segala pintu, jalan segala jalan untuk pulang-pergi
ke tempat itu di kemudian hari kelak. 




Dan anak kunci itu aku masukkan ke dalam kantungku. Aku fikir lagi, masih bisa lagi yang akan kubawa. Aku pandang dan menilik, maka kelihatan olehku gumpalan gulungan tali yang berlingkar dan berpusat dan hujungnya terjuntai keluar. Aku tarik hujung tali itu dan tali itu menghulur lagi menghulur. Dengannya aku terjun ke bawah dan aku sampai kembali ke daratan.




Aku sedar sesedarnya, aku masih ingat segala kejadian itu. Aku kembali tidak dengan perahu yang kecil yang bertahun-tahun lamanya makanya aku sampai ke SANA. Aku kembali dengan hujung tali yang berpusat ke SANA dan perjalanan itu tak banyak memakan waktu. Sampai sekarang anak kunci itu masih ada padaku. 



Aku berfikir di kala itu, mungkinkah orang dapat mempercayaiku kalau aku ceritakan tentang yang kualami itu? Begitu pula bagi orang daratan yang belum pernah melihat lampu di sebuah pulau, kalau dikatakan bahawa lampu yang kelihatan hidup mati itu dari daratan, di SANAtidak mati, melainkan hidup terus. Tidak akan mahu begitu sahaja mempercayainya sebelum mereka sampai pula suatu ketika ke pulau itu dengan melihat dengan mata kepala sendiri. 


Sampai sekarang anak kunci yang kuperdapat itu telah ku perbanyak. Dan banyak pula orang yang telah menerima anak kunci dariku itu tidak pandai mempergunakannya.



.

.

No comments:

Post a Comment