Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Aku berdiam di dalam suatu rumah - page 155


Aku berdiam di dalam suatu rumah. Aku hendak memasuki rumahku sendiri. Aku hendak menemui diriku. Aku hendak mengenal diriku sendiri. Aku keluar, aku keluar dengan alam pemikiran ku, memikirkan bagaimana jalan untuk dapat memasuki rumah sendiri. Aku teringat akan peribahasa: "Rumah tampak, jalan tak tentu". Yah, aku nampak rumah ku, bahkan telah kuketahui rumah kediamanku. Tetapi aku belum menemui diriku.


Dalam mencari-cari itu tanganku meraba Qur’an, membalik-baliknya dan mataku tertuju kepada ayat 35 dari Surah An-Nur yang terjemahannya ke dalam bahasa Indonesia menurut tafsir Mahmud Yunus yang ada padaku ialah : 


“Allah memberi cahaya langit dan bumi. Umpama cahayaNya kepada orang beriman, seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya pelita, pelita itu di dalam gelas. Gelas itu kelihatan laksana bintang yang berkilau-kilauan di langit. Pelita itu dinyalakan dengan minyak kayu yang berkat, iaitu minyak zaitun, yang tiada tumbuh di Timur dan tiada pula di Barat, hampir minyak itu bercahaya dengan sendirinya, meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdamping sesama Cahaya. Allah menunjuki orang yang dikehendakiNya kepada cahaya Nya itu. Allah menunjukkan beberapa perumpamaan bagi manusia dan ia mengetahui tiap-tiap sesuatu.”


Allah telah menunjukkan perumpamaan apa yang ada dalam sebuah rumah, yang mana kalau melihat apa yang ada dalam rumah itu melalui sebuah lubang dinding rumah itu. Apa yang ditunjukkan itu, kalau kita melihat dari luar? Dalamnya ada lampu. Lampu itu bercahaya-cahaya dan dengan cahayanya maka kita akan dapat mengetahui apa yang ada di dalam rumah itu. Allah menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada Cahayanya itu. 


Aku ingin hendak memasuki rumahku sendiri. Apa akal ku dan apa dayaku? Aku tahu, aku insaf sebagai seorang manusia, akal ada padaku dan daya pun ada padaku. Kalau aku tak berdaya tentu aku tak akan hidup namanya. Bagaimana aku akan dapat memasuki rumahku sendiri , sedangkan aku telah berada di dalamnya? 


Suatu pertanyaan yang aneh, tetapi benar. Kalau aku yang keluar tidak mungkin, kerana pintu tertutup bagiku, dan orang pun tidak mengenal aku. Akan tetapi, kalau aku keluar benar dari tempatku berarti kematian bagi badanku. Ada masanya bagiku untuk pergi meninggalkan rumahku. Kepergianku dijemput kerana aku orang jemputan. Akan tetapi bukan itu tujuanku. Tujuanku ialah bahagia sepanjang masa waktu di mana pun aku berada. 


Dengan akal dan dayaku sendiri, aku dapat memasuki rumahku sendiri melalui pintu-pintu tertentu. Ini dapat aku menangkapnya dengan daya rasa yang ada padaku. Rasa perasaan yang tadinya sifatnya negatif bagi tangkapanku, dengan telah terbukanya pintu, maka rasa perasaan itu bagi tangkapan ku menjadi positif atau pasti dan kenyataan. Aku teliti dan pelajari rasa yang telah terasa itu dan aku telah menemui jalan untuk memasuki rumahku dan aku telah dapat mengenal dan menemui diriku sendiri, diri yang tiap-tiap orang berilmu mencarinya dengan berhabis umur semenjak dari dulu sampai sekarang ini. 


Dan dengan jalan yang telah kutemui itu, aku dengan kecerdasan akal ku keluar masuk sehingga aku dapat merasakan pemisahan antara yang satu dengan yang lain antara badan diriku. Suatu pemecahan yang menghasilkan pemisahan yang dapat aku mengatakannya bahawa aku dengan badan dan diriku, adalah "jauh tak berantara dekat tak berbatas". 


Diri yang ku kenal tidaklah seperti diri yang dibayangkan orang, diri yang direka-reka atau diri yang hanya dapat diperkatakan atau dibicarakan, tetapi tak dapat dirasakan. Aku telah dapat mengetahui apa yang ada di diriku sendiri dan telah banyak mengambil manfaat dari Nya, dan telah banyak pula orang mendapat faedah dari Nya, kerana rahsia diri yang telah ku perdapat itu aku berbuat dan berlaku, melakukan sesuatu untuk sesuatu yang aku jadikan pula menjadi amalanku pagi, petang, siang dan malam. 


Semenjak aku dapat menemui Jalan itu, maka jalan itulah yang menjadi peganganku, jalan itulah yang aku tempuh di kala suka dan duka, dengan jalan itulah yang aku hidup, kerana aku yakin bahawa jalan ku itu , jalan berisi, berisikan nikmat tidak dimurkai dan tiada pula sesat. Dan telah banyak pula orang yang mendapat dan menerima aliran dariku yang mendatangkan manfaat pula pada dirinya sendiri. 


Akan tetapi amat kusesalkan sampai saat ini (Julai, 1967), kebanyakan dari mereka-mereka itu kurang cerdas. Kurang tepat dan cepat dapat menangkap pengertian-pengertian dan penerangan-penerangan yang aku berikan. Mereka-mereka terlampau memikirkan dan mengkhayalkan akan menarik keuntungan untuk badan dirinya sendiri sebanyak mungkin dari ilmu pengetahuan yang aku berikan padanya, sedangkan pengertian yang agak mendalam seperti yang aku harapkan belum diperolehinya. Aku sendiri yang harus mendidik dan melatih mereka-mereka itu, sedangkan kebanyakan dari mereka-mereka itu tidak mahu mencuba berlatih sendiri di rumah masing-masing, sedangkan hasrat mereka-mereka itu sangat besar hendak menguasai dan mempunyai ilmuku. 


Apa sahaja yang kubuat dan kulakukan, selalu kubawakan dengan jalan aku sendiri. Jarang mereka-mereka menyoalku dan bertanyakan ini itu padaku. Kalau ada yang bertanya padaku, yang ditanyakan bukan yang bertalian dengan ilmu pengetahuan, melainkan yang lain-lain sahaja, yang tak ada hubungannya sedikit juga dengan ilmu pengetahuan. 



Tiap-tiap orang harus dapat tahu hendaknya akan akunya sendiri, tahu di rahsia diri sendiri, kalau kesempurnaan hidup yang akan dituju. Capailah bahagia yang diidam-idamkan dengan rahsia yang terkandung di dalam dirimu sendiri. Pelajarilah akan diri sendiri sampai dapat mengetahui akan keadaannya. Jadikanlah diri yang telah ditemui itu menjadi ilmu bagimu. Bagaimana caranya menjadikan diri yang ditemui itu menjadi ilmu? 


Ibarat batang kayu, adalah diri itu dijadikan pokok dari ilmu pengetahuan kita. Pada permulaan, diri yang kita kenal dapat kita ketahui dengan perantaraan akal dan jalan fikiran kita sendiri bertafakur di dalam. Kita hendak menundukkan kepala ke bawah, dengan mempergunakan akal dan jalan fikiran kita, kita seolah-olah telah berada di muka pintu rumah atau sekurang-kurangnya sedang mencari pintu yang akan dimasuki. Dan begitulah, aku telah berada di muka pintu, bukan di pintu belakang melainkan di pintu depan. 


Aku dapat menemukan sesuatu yang asing lagi aneh bagiku. Aneh bagi daya tangkap perasaan ku. Perhatianku kucurahkan padanya. Dia membawa anggota badanku bergerak, iaitu tanganku. Aku turutkan jalannya, pergerakanku tadi dengan cermat dan sadar. Dia membawaku pulang pergi. Dengan penelitian dan latihan yang berulang-ulang dapat tahulah aku, bahawa aku telah berulang-ulang keluar masuk rumah ku sendiri. 


Aku telah menemui jalanku sendiri, iaitu jalan diriku. Jalan yang berisi, yang pergerakannya menuju kepada kelancarannya jalannya kehidupanku di dalam. Yah, aku telah menemui diriku sendiri, yang aku telah banyak mengambil manfaat dari nya, dan yang orang lain telah banyak pula menarik faedah darinya. Dan semenjak aku telah dapat menemui jalanku itu pembawaanku sehari-hari lebih condong kepada menurutkan jalanku yang bertitik tolak dari dalam itu, dengan menyampaikan gerak jalan fikiranku sendiri. Jalan fikiranku kupergunakan menjelang dapat menemui jalanku sendiri untuk seterusnya aku berjalan pada jalanku, dengan jalanku untuk tujuan sesuatu. 


Rahsia diri telah menjadi rahsiaku, bahkan telah ku jadikan ilmuku dengan jalan menurutkan jalannya yang telah aku temui. Aku telah bermodal, telah berpokok, berpengetahuan. Modalku, Pokok ku dan pengetahuanku ialah diriku yang banyak mengandungi Rahsia itu. 


Diri itu Suci lagi bersih dan bercahaya laksana bintang yang berkilau-kilauan di langit. Diri yang telah kita kenal dengan positif (pasti) harus dapat pula mengenal hendaknya akan keadaannya sendiri; apa yang ada di luar dari badan dirinya sendiri, iaitu badan kita yang kasar ini berserta isinya dan hubungannya antara yang satu dengan yang lain, sehingga tercipta kasih sayang antara yang satu dengan yang lain - dengan pengertian badan menyayangi dirinya dan diri menyayangi badannya pula. Dan kesemuanya adalah kerja aku, dan ku lakukan itu dengan jalanku sendiri dan ilmu ku berserta akalku dengan pengetahuan lahirku. 


Dasar dari ilmu pengetahuanku yang berasal dari diriku sendiri itu ialah "Dua Kalimah Syahadah" (Kalimah Tauhid) yang berisikan dan bertujuan mengadakan pengakuan dan kesaksian 'tiada Tuhan yang lain yang aku sembah melainkan Allah dan pengakuan Muhammad Rasulullah'. Modalku itu harus aku perkembang dan perkuat. 


Ibarat pohon, maka adalah batang yang telah ada itu ku perkembang, iaitu ke atas berpucuk, ke bawah berurat berakar, supaya tercipta satu pohon kayu yang teguh, kuat dan rimbun nampak dari jauh yang mana batangnya tempat orang bersandar, uratnya tempat bersila, pokoknya tempat orang berlindung di waktu panas dan berteduh di waktu hujan, buahnya sangat lebat akan tetapi tak nampak, kerana buahnya di dalam, bukan di luar. Maka adalah buah yang berhikmat itu yang membawa keberkatan, menantikan orang yang pandai mengeluarkannya dan memetiknya supaya dapat merasa hikmat dan berkatnya, apalagi kalau pandai mempergunakan, kerana adalah buah itu serbaguna. 


Menciptakan pohon dimaksud bukanlah orang lain, melainkan diri kita sendiri dengan sepengetahuan akal kita dan dilakukan dengan jalannya, bukan dengan jalan pemikiran kita. Pohon yang telah berdiri rimbun dan telah berurat berakar yang diciptakan dengan jalan pengetahuan itu, keluarnya ialah merupakan badan kita, yang batang iaitu diri yang ada di dalam, puncaknya yang rimbun ialah kepala yang berisi alat perlengkapan yang cukup, daunnya yang nampak lebat ialah rambut dan isinya yang nyata ialah urat - tulang - otak - benak dan yang tak nyata tetapi ada ialah akal yang letaknya di atas segala-galanya. 

Berikut [selanjutnya] kesadaran, ingatan, kemahuan, pemikiran dan lain-lain sebagainya dan seterusnya urat serta akarnya ialah urat yang berbelit di seluruh batang tubuh kita untuk menguatkan tegak berdirinya badan diri kita. 


Dan ketahuilah bahawa hidup dan kehidupan seseorang berlaku dan berjalan semenjak dari dalam. Kalau tak ada yang ada di dalam diri kita, tentu kita tak akan hidup namanya dalam arti kata yang sebenarnya. Dan keluar, manusia melanjutkan di jalannya kehidupannya dengan modal yang ada padanya mencari kebutuhan hidup yang banyak bertaburan di muka bumi. Dan tak kurang pula banyaknya manusia harus berjuang untuk hidup dengan memeras tenaga mencapai yang dibutuhinya. 


Apakah makan untuk hidup atau hidup untuk makan? Maka tak salahlah kalau orang mengatakan sama sahaja dengan binatang bagi mereka yang berpendirian hidup untuk makan. Untuk mencapai hidup berbahagia, orang harus memahami hidup dan mengetahui rahsia hidup yang sebenarnya. 


Ketahuilah bahawa apa yang dinamakan 'hidup' itu adalah dia dihidupkan dan menghidupkan. Dia dihidupkan lantaran aku ada di dalam dan dia meghidupkan, iaitu memberi daya kehidupan bagi anggota badan diri. Dan anehnya, manusia melanjutkan kehidupannya dengan jalan mendatangkan kebutuhan dari luar. Dan untuk mendapat bermacam-macam yang dibutuhkan, manusia harus berlaku, berbuat dan berusaha. 


Dan adalah diri itu hidup, bukan mati seperti badan. Hidupnya gilang-gemilang, terang-benderang bercahaya, sedangkan badan gelap-gelita. Hakikatnya terang bak siang dan sifatnya (badannya) kelam bak malam. Dia menerangi alam sekelilingnya. Hidupnya berisi yang tak habis-habisnya, sedangkan badan menghendaki diisi supaya kuat dan bisa mempertahankan apa yang dinamakan hidup seperti orang. 


Diri yang dikenal dan yang ditemui, bukan tidak menghendaki makan-minum. Dia berkehendak pula kepada makanan dan minuman. Makanan dan minuman tidak bermacam-macam seperti yang dikehendaki badan. Makanan dan minumannya datangnya dari Tuhan, namanya disebut Allah. Sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya dan dengan itu dia diberi makan, dengan istilah lain. Zikirlah, iaitu apa yang dinamakan orang zikir Allah.



Dan kalau badan berkehendak kepada istirahat (apa yang dinamakan orang, tidur), maka diri yang kita kenal tak pernah tidur. Dia tak kenal akan tidur. Dia bertugas terus, mealiri terus dan berjalan terus. 



Hanya sayang bagi orang yang belum mengenalnya benar dan belum pula dapat menemuinya, perjalanan yang dilakukannya itu tak ubahnya ibarat menghasta kain sarung, ‘sampainya di situ ke di situ juga.’ Jalannya berisi, isinya nikmat, pembawaannya berkat, tidak dimurkai dan tidak pula sesat. 

Di mana sahaja dia berada membawa berkat, mendatangkan hikmat serta bahagia; bahagia sepanjang masa. Alangkah bahagianya, kalau orang dapat menemui dan menguasainya, mengenalnya dengan arti kata yang sedalam-dalamnya dan sebenar-benarnya; mengetahui akan hikmah yang terkandung dalamnya, memperkembangnya, berjalan pada jalannya demi kebahagiaan yang kekal dan abadi yang dituju sejak dari dunia sampai ke akhirat. 





Pecahkanlah rahsianya dan ambillah manfaat akan isinya atau buahnya. Hidupnya teratur kerana ada yang mengatur. Pembawaannya tenang, aman, damai oleh kerana ada Yang Menenangkan, Yang Mengamankan dan Yang Mendamaikan-nya. Dan memang aman, tenang, damai itulah dasar hidupnya. Orang harus dapat banyak mengerti padanya supaya dapat pula banyak memetik akan buahnya. 


Maka adalah pada kita manusia, ilmu yang terdekat ada 3 (tiga) tingkatannya, iaitu :


  • Pertama: Ilmu Syariat (nyata) mengetahui keadaan badan dan isinya;
  • Kedua: Ilmu Hakikat (kebatinan) yang berpokok-pangkal pada akal; dan
  • Ketiga: Ilmu Makrifat (ketuhanan) yang berpokok-pangkal dari diri yang datangnya dari "A"-ku.
Dan ketiga-tiga ilmu yang disebutkan di atas ada pada badan diri kita. Dan terserah pada kecerdasan dan pendidikan, mampu atau tidaknya kita dapat menguasai ketiga-tiga ilmu itu. Di badan diri kita adanya ketiga-tiga ilmu itu.

• Mereka yang ahli dalam Ilmu Syariat dapat menjadi doktor, tabib, dukun. Dalam hal ini, istilah kedukunan, pengajian tubuh.

• Mereka yang ahli dalam ilmu hakikat (kebatinan) dapat menjadi ahli kebatinan; dan

• Mereka yang menjadi ahli dalam ilmu makrifat (ketuhanan) bisa jadi ahli hakikat, syariat dan yang lain-lain.


Ilmu yang paling dalam dan tinggi ialah Ilmu Ketuhanan, dan puncak dari segalanya ialah bermakrifat pada Tuhan iaitu Makrifatullah. Dapat ku katakan, adalah makrifat yang dianggap oleh ahli kebatinan itu sebenarnya baru hakikat dan ditempatkannya di dalam makrifat. 

Jalan atau Tarekat adalah Ilmu Syariat berserta hawa nafsu. Ilmu Kebatinan atau Hakikat, jalannya bersyariat bersertakan hawa nafsu dan Ilmu Makrifat iaitu bagi mereka yang telah mencapai Makrifattullah, lepas dari hawa nafsu. 

Kalau ada, dia terpisah sendiri kerana orang yang telah mencapai tingkatan itu telah menemui jalan sendiri untuk tujuan sesuatu (membebaskan diri dari hawa nafsu) atau dari segala keadaan yang nyata. 


Kesimpulannya, adalah yang menjalankan Syariat, jalan atau Tarekat menerbitkan Hakikat, timbulnya dari Makrifat. Pembawaan yang sebaik-baiknya ialah akal yang ada pada kita harus dapat mengenal dan menghubungi aku kerana akulah yang dapat mengenal dan menghubungi Tuhan dengan jalan yang ada padaku. 

Dengan ringkas dapat dikatakan, perjalanan dari akal ke Aku dan dari Aku ke Allah. Jalan aku jalan lurus lagi benar. Dan itulah dia jalan hidup yang akan dipakai dan mati yang akan ditumpang. Suatu jalan yang aneh bagi orang. Tak termakan oleh akal, tetapi benar. Bahkan jalannya itu menembus alam sendiri, di mana apa yang dinamakan akal termasuk di dalamnya. Dan akallah dasar dari ilmu kebatinan.


Adalah akal itu berbahagi dua; satu bernama akal jahat, dan yang satu lagi bernama akal sihat. Sebaik-baiknya ahli kebatinan hendaknya berdasarkan kepada akal sihat. Kebanyakan ahli kebatinan tergelincir oleh kerana tak dapat memperbezakan yang mana akal jahat dan yang mana akal sihat. Akalnya dipergunakannya semata-mata menarik keuntungan sebanyak mungkin untuk diri sendiri, tak peduli kerjanya itu buruk atau baik. Suatu pekerjaan Hakikat yang disengajakan. 


Ilmu akal yang sebaik-baiknya ialah dipergunakan untuk mencari diri sendiri, menarik pelajaran darinya, kerana orang mengatakan, 'Siapa yang mengenal dirinya, akan mengenal Tuhan dengan sendirinya'. Orang kalau mahu mengenal aku, kenalilah dirinya sendiri kerana adalah dirinya itu diriku pula. Dan supaya orang dapat mengenal aku, aku kemukakan diriku. Diriku akan menjadi orang kalau badanku ada. Dan dengan kejadian itu, dengan sendirinya apa yang kukatakan diriku itu menjadi diri orang pula. Orang yang kumaksud orangku, bukan orang lain.



.

No comments:

Post a Comment