Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Gerak Allah lah yang menentukan akan segala sesuatunya - page 118

Pertemuan kami di kala itu hanya sekejap sahaja. Ya, sekejap sahaja dan tak banyak pula rasanya yang dapat kukatakan. Suatu perjumpaan yang tak diduga-duga. Dan di waktu itu aku berasa seolah-olah aku ditarik kembali untuk keluar, yang mana tak dapat pula aku mempertahankannya. Kudrat Tuhan berlaku atas diriku.


Kukatakan padanya sambil berdiri, “Sekarang telah tiba pula masanya bagi kita untuk berpisah. Aku akan kembali ke luar tirai besi ini, kerana dorongan sangat kuat rasanya untuk menarik aku keluar.


Aku sangat berasa berbahagia yang dalam pengembaraanku Tuhan telah mempertemukan kita, walaupun hanya sekejap. Tahu aku sudah tempatmu sekarang dan tahu pula sudah aku, rumah yang akan aku diami nanti. Lepaslah dulu aku pergi, menjelang aku kembali padamu untuk selama-lamanya. Tugasku belum selesai, dan aku masih dalam perjalanan."


Tuan puteri rupanya enggan melepaskan pergi, akan tetapi dia tak kuasa menahanku. Dia mahu ikut berserta aku. Kataku, “Aku bukan tak mahu membawamu dik, akan tetapi ketahuilah olehmu, apa yang ada padamu ada padaku dan apa yang ada padaku tak ada padamu. Yang tak ada padamu lagi ialah badan sepertiku ini.” Sambil menunjuk ke badanku. “Itu sudah lama hancur menjadi tanah, akan tetapi sungguhpun begitu engkau tak
usah khuatir. Dengan perjumpaan kita ini, aku ketahui sudah aku dapat hidup dalam dua alam iaitu di alamku yang kudiami sekarang ini iaitu di alam nyata, dan di alam yang kau diami sekarang ini di alam arwah, di alam ghaib. 


Oleh ketahuanku, sewaktu-waktu kita bisa bertemu dan kerana penemuanku akan diriku sendiri menjadikan segala sesuatunya bagiku jauh tak berantara dekat tak berbatas. Tuhan jua Yang Mengetahui segala-galanya. Aku harus kembali. Engkau lihatlah ke sana, di luar tirai besi. Pengikutku sentiasa menunggu-nunggu menantikan kedatanganku kembali kepadanya, termasuk anak kandung kita untuk kembali meminpinnya menunjukkan jalan yang benar; jalan pada Jalan Allah. 



Gerak Allah-lah yang menentukan akan segala sesuatunya


Begitulah kisah perjumpaanku dengan kekasihku yang telah pergi meninggalkan aku, ibu kandung dari anak-anakku yang dapat kuceritakan. Hanya sekejap, ah… sekejap sahaja. Suatu pengembaraan menurutkan rasa apa yang terasa. Dan aku tidak bermimpi. 


Tingkat pertama dari kehidupanku yang berjalan menuruti kehendak badan telah kulalui. Tingkat kedua, iaitu berjalan menuruti jalan diri dengan mengikut-sertakan badan sampai
sekarang sedang kujalankan. Dan aku lagi menuju ke tingkat ketiga iaitu aku hendak mencari dan sampai dapat menemui ‘A’-ku yang sebenarnya dan aku akan ingin mengemukakan ‘A’-ku yang benar, keakuanku berjalan dengan diri dan badanku. Aku hendak membersihkan diriku, badanku dan ‘A’-ku berserta badan diriku ingin banyak berbuat. 


Aku yang dilahirkan di bahagian Barat dari pulau tampat orang tuaku berdiam, mengembara menuruti kehendak jalan badanku ke Selatan. Pernah ke Timur dan pernah pula ke Utara. Dan sudah pernah pula ke luar negeri. 


Sekarang aku duduk di selatan. Aku pernah berdiam di dekat Pusat Pemerintahan tanahairku, akan tetapi oleh kerana waktu itu berkemungkinan belum waktunya yang tepat, di sana pulalah aku mendapat cubaan berat sampai berpisah dengan ibu dari anak-anakku kerana di kala itu aku tak tegas, tak mempunyai pendirian yang kuat sesuai dengan pembawaanku yang selama ini suka mengalah dan menurut.


Aku tingkatkan pengetahuanku mengenai diriku. Aku tingkatkan lebih mendalam dan di Sana, di suatu tempat yang tak dapat aku mengatakannya, aku temui ‘A’-ku yang sebenarnya. Aku katakan, “Adalah ‘A’-ku yang sebenarnya ialah di balik ‘nan sebatang,’ ‘nan tunggal,’ Alif berasal dari titik yang dinamakan sekarang Baginda Muchtar. 

Namaku yang sebenarnya dari ibu bapaku ialah Muchtar Uddin. Uddin dari nama ayahku yang telah meninggal selagi aku masih kecil. 


Setelah aku kahwin, maka aku berhak memakai gelar dari bapaku yang menjadi pusaka bagiku dan begitulah aku lebih suka memakai nama :  BAGINDA MUCHTAR.


Aku berbadan dan berdiri. Diriku di balik badan dan ‘A’-ku di balik diri. ‘A’-ku mengisi diri dan diri memberi kehidupan kepada badan. Maka adalah ‘A’-ku melalui diri menghidupankan badan. Tadinya Aku melalui badan menimbulkan diri. Perjalananku menuruti kehendak badan menyebabkan aku harus bekerja dengan keras. Aku hanya dapat menghubungi yang nyata sahaja.


.

No comments:

Post a Comment