Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Petunjuk Petunjuk Untuk Kesempurnaan 9 - page 78

PETUNJUK-PETUNJUK UNTUK  KESEMPURNAAN (9)

    Badan yang telah dipersenjatai dengan diri dan diri yang telah mengenal badannya dan badan yang telah dapat pula mengenal dirinya yang sebenarnya, telah saling kenal mengenal satu sama lain, sehingga si badan telah menyayangi dirinya dan si diri telah mengasihi badannya.


   Si badan mulai sedar dan dapat mengetahui bahawa suatu kekeliruan besar di perjalanan hidupnya yang sudah-sudah yang telah dibawakannya, dikeranakan salah pandangan dan salah tangkapan dalam memahami akan keadaannya. Jalan yang diturutinya jalan hampa dan kosong sedangkan yang teramat penting dan sangat amat berguna bagi kelanjutan perjalanan hidupnya disia-siakannya dan tak pernah diikut sertakannya dalam tindak tanduknya untuk tujuan atau mendapatkan sesuatu.


  Si diri yang tadinya tidak diambil peduli oleh yang mengandungnya mengambil sikap masa bodoh, walaupun dia yang langsung merasakan dan menderita dan merana oleh perbuatan si badan yang tak mau tahu di diri itu. 


  Dan setelah si badan sedar dari kekeliruan pandangannya, maka setelah dapat mengenal dan menemui dirinya dan setelah dia dapat mengetahui bahawa " yang dikandung dalam segala hal melebihi kesanggupannya dari yang mengandung ". Maka dengan sendirinya lahirlah pengakuannya pada diri sendiri dengan dalam segala tindak laku perbuatannya dirinyalah yang dikemukakannya.


  Si diri yang tadinya membisu seribu bahasa disebab-keranakan tidak dipedulikan oleh yang mengandungnya, sebelum mencapai pengakuan dan penyerahan yang bulat dari si badan, mulai sedar dan bangun dan tahu sudah bahawa yang dikatakan badan itu adalah kepunyaannya, teman hidupnya sejati dunia dan akhirat, selapik seketiduran, sebantal dan sekalang hulu, sehina semulia, ke lurah sama menurun, ke bukit sama mendaki, sudah tentu tak akan membiarkan badannya sengsara, merana atau menderita.


 Air yang setitis dari gunung, setelah melalui masa jalan yang berliku-liku dalam perjalanannya ke muara telah menjadi sungai dan akan mengharungi lautan lepas. Walaupun jalan yang dilalui banyak lekuk likunya, akan tetapi jalannya itu ialah jalan berisi, tiada hampa dan kosong. Adalah yang dinamakan sungai yang telah sampai di muara itu, ialah kumpulan dari titisnya air dan berbagai-bagai tempat dan jurusan yang mempunyai satu tujuan, yaitu laut lepas.



  Begitu pulalah laksana diri kita yang terdiri dari kumpulan serba serbi zat dan mealiri seluruh batang tubuh dan memberi daya hidup kepada kita. Jalannya berisi, memberi nikmat, tidak dimurkai dan tidak pula sesat. Dia dikandung oleh yang mengandung. 

  
  Biasanya yang dikandung ditanggung oleh yang mengandung, akan tetapi oleh kerana salah memahami akan isi dari kandungan tersebut, maka yang mengandung yang bersalah, yang diisi dari kandungan tersebut,  maka yang mengandung yang bersalah, yang dikandung atau sikandung yang menanggung. Yang mengandung tidak mengetahui akan rahsia kandungannya, bahkan tak pernah menjadi perhatiannya.



  Seorang ibu yang mengandung belum dapat mengetahui rahsia kandungannya, sebelum kandungan itu lahir. 


 Bagi si kandung yang telah dilahirkan, kelahirannya itu mengandung pula. Sama-sama mengandung, akan tetapi berlainan kandungan. Sama-sama menanggung, akan tetapi berlainan tanggungan. 


 Kita mengandung dalam kita dikandung. Ibu menanggung dalam kita kandung mengandung. Akan tetapi kita yang selagi dalam kandungan mengandung, tidak menanggung






 Ibu yang mengandung berasa bahagia setelah kandungannya lahir. Si Bayi menangis setelah ia dilahirkan, kenapa begitu? 


  Si ibu yang mengandung berasa bergembira setelah kandungannya lahir. Si bayi menangis sewaktu keluar dari kandungan, kerana tali pergantungan telah putus, bumi tempat berpijak telah terbenam.


  Dia harus mencari tali baru untuk bergantung dan bumi baru tempat berpijak. Dia dibawa dididik dan diasuh untuk menghadapi kenyataan, memenuhi kebutuhan lahir dan amat sedikit dan terbatas diberi pengetahuan mengenai yang tidak nyata atau yang ghaib. Dan pengaruh kenyataan itulah yang menyebabkan dia lupa akan dirinya sendiri, lupa akan kandungannya.

   
 Si ibu belum akan merasa bahagia sebelum kandungannya lahir dan begitu pulalah hendaknya yang mengandung dalam dikandung itu seharusnya setelah dilahirkan sebelum akhir hayatnya, melahirkan kandungannya pula hendaknya untuk kesempurnaan kejadiannya.


  Pada kelahiran pertama kita menjadi anak dari yang melahirkan kita  sampai menjadi besar dan pada kelahiran kedua kita sendiri seharusnya melahirkan kandungan kita, kerana yang dikandung dan yang mengandung adalah kita jua. Hanya bezanya berlainan cara melahirkan. 


 Kita yang mengandung dalam dikandung rahsianya letaknya di dada dan kita yang dikandung oleh yang mengandung letaknya bukan terahsia lagi melainkan sudah diketahui umum, iaitu di perut, di rahim ibu.


Ketentuan jantan betinanya, laki-laki atau perempuannya seseorang ialah setelah dia keluar dari perut ibunya, akan tetapi "rahsia" dari seseorang letaknya terkandung di dadanya. Rahsia yang dimaksudkan bukanlah rahsia badan yang bagi ahli anatomi bukan rahsia lagi, melainkan yang dimaksud ialah "rahsia diri" pokok pangkal dari seluruh jalannya kegiatan kehidupan kita sejak dari dalam sampai ke luar atau sebaliknya dan seterusnya dunia dan akhirat.

.

No comments:

Post a Comment