Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Petunjuk Petunjuk Untuk Kesempurnaan 4- page 68

PETUNJUK-PETUNJUK UNTUK  KESEMPURNAAN (4)

     Keterangan ini tak dapat kita begitu sahaja menerimanya oleh kerana tak masuk akal. Kejadian-kejadian seperti tersebut di atas yang menimbulkan atau mendatangkan takut pada perasaan disebab keranakan jiwa yang kecil lagi lemah dan dengan tidak mempergunakan pertimbangan akal menerima sahaja akan keterangan-keterangan orang-orang yang sambil bercerita menggambarkan perihal yang bukan-bukan pada kita manusia yang bersandarkan kepada kenyataan semata-semata. 


Bagi orang yang berdasarkan kebendaan, boleh sahaja mengatakan tidak percaya kepada adanya hantu-hantu, jin-jin, penunggu-penunggu dan lain-lain yang sifatnya halus lagi ghaib, sebelum mengalami sendiri peristiwa-peristiwa ghaib. 

Sebaliknya bagi orang-orang yang tak berpendirian atau bagi orang yang belum mempunyai pegangan, tidaklah pula baik akan menerima sahaja dan terus menelannya apa-apa yang dikatakan orang, terutama mengenai perihal yang halus-halus, yang tidak nyata, yang ghaib-ghaib.


    Kita dapat mendengar dari cerita-cerita orang, akan adanya orang halus, jin, hantu, raksasa dan lain-lain yang mengerikan dan akan adanya dewa-dewa, arwah-arwah, roh-roh suci, malaikat-malaikat, bidadari-bidadari yang ceritanya menyenangkan perasaan dan mendatangkan keinginan untuk supaya didatanginya atau hendak menemuinya. 


   Bagaimana mestinya kita menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan itu? Untuk menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan itu hendaklah kita berpendirian dan mempunyai suatu pegangan yang kuat lagi benar.

    Berpendirian berarti tahu didiri yang sebenarnya dan mempunyai suatu pegangan, berarti tahu diharga diri sehingga diri itulah yang menjadi pegangan hidup, kerana diri itulah yang sebenarnya hidup. 

Mengetahui diri serta mengenalnya sampai berdiri pada diri sendiri yang tegak seperti Alif ( ا ) yang duduk seperti Wau (  و  ) yang tergantung tiada bertali, bertali tiada tergantung.


    Itulah pula dia yang tak lekang oleh panas, tak lapuk oleh hujan; kalau digeser laju dibubut mati. Dan adalah yang di luar dari kita ialah badan berbentuk dan berupa dan berasalkan dari tanah.


     Dan semuanya akan kembali dan dikembalikan ke asal, iaitu tanah kepada tanah, air ke air, api ke api dan angin ke angin dan wal hasil asal di balik asal semuanya tidak ada kecualinya atau kembali kepada Tuhan.


     Inna lillahi wa-inna lillahi rajiuun.


    Dan akan musnahlah semuanya, kecuali Dia yang asli, yang menjadikan segala yang dijadikan, Yang mengadakan segala yang diadakan, yang mematikan segala yang dihidupkan dan yang menghidupkan segala yang dimatikan. 


  Dia yang Maha Besar, tidak berupa dan bertampan, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, membentuk segala yang berbentuk, merupakan (memberi rupa) kepada segala yang berupa. 


   Dia terahsia bagi seluruh, bagi seluruh makhluk, bagi seluruh Hamba dan adalah bagi orang yang hendak mencarinya, menjadi tugasnyalah untuk memecahkan Rahsianya untuk dapat mengenalnya sampai dapat menemuinya.


   Dia sangat dekat bagi orang yang telah mengetahui ilmunya dan sangat jauh bagi orang yang tak tahu akan Rahsianya. 


  Carilah Dia yang berada di alammu sendiri lebih dahulu sebelum engkau mencarinya yang berada di alam Maha Besar lagi Maha Luas yang tak bertepi dan sebelum engkau mencari yang lain-lain yang bertaburan di bumi kita ini, tegasnya dalam alam semesta.


    Dia memberi dan meisi kehidupanmu. Hidupnya tidak bergantung padamu, akan tetapi kehidupanmu bergantung padanya. Dia tidak mencari yang bukan-bukan dan sentiasa duduk di tempatnya. Dia tidak keluar, akan tetapi rezeki baginya mendatang, begitupun seluruh kebutuhannya. Dia didatangi dan mendatangi orang tertentu. Dia mengerti semuanya, sayang banyak orang tak mengerti padanya. 


  Yang dicarinya yang tak dicari orang dan yang tak dapat banyak orang mencarinya iaitu yang tidak ada, tetapi ada, ada dalam sebutan tidak ada dalam kenyataan. Berguna untuk dirinya dan tak bermanfaat bagi orang banyak.


  Carilah dirimu sendiri lebih dahulu sebelum kamu mencari yang lain-lain. Diri yang bagi badanmu berdiri dengan sendirinya, yang tegak seperti Alif, yang duduk seperti Wau.


  Kalau kamu telah dapat menemui dirimu, carilah pula yang tergantung tiada bertali dan yang bertali tiada bergantung. 


  Sebelum dapat menemuinya yang bertali tiada tergantung, yang tergantung tiada bertali, bererti belumlah pula faham kita akan diri kita sendiri kerana dengan berpegang kepada yang tergantung tiada bertali kita, tak bisa bikin apa-apa dan begitu pula dengan berpegang kepada yang bertali tiada bergantung tidaklah sempurna kejadian kita.


  Dengan dapat menemui dan memahami akan keduanya, maka dapatlah kita tali pergantungan sehingga dengan mengambil tali pergantungan itu sebagai pegangan. Maka berarti pula kita telah mempertemukan satu dengan yang lain, pertama yang bergantung tiada bertali dan yang kedua yang bertali tidak tergantung.


 Yang tak ada pada yang tergantung iaitu tali dan yang tak ada pada tali iaitu tempat bergantung, dan penyatuan kedua-duanya menghasilkan tali pergantungan seumpama pertemuan antara negatif dan positif.


.

No comments:

Post a Comment