Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Cukup Mencukupi - page 93



Cukup mencukupi.


Biarlah "satu" bagiku, tetapi mencukupi daripada "sembilan puluh sembilan" tetapi tidak cukup.

Aku teringat akan kesah dua orang bersaudara mendatangi  seorang yang dianggapnya "ahli" minta hukum yang adil dan anehnya dengan menunjukkan jalan yang betul.

Keduanya berselisih, anehnya yang seorang pada yang lain. 

Seorang diantaranya berkata : "Ini saudara saya, ia mempunyai 99 ekor kambing dan saya hanya mempunyai seekor sahaja, lalu katanya kepada saya: Berikanlah kambing engkau ini kepadaku saya menjaganya, dan dikalahkannya saya dengan percakapannya.

Berkata  si "ahli" tadi,  "Sungguh ia anehnya sekali pada engkau kerana meminta kambing engkau itu supaya dicampurkannya kepada kambingnya. Supaya kebanyakan orang-orang yang bersyarikat itu anehnya yang seorang kepada yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salleh, tetapi amat sedikit bilangan mereka itu.

Kesah ini aku perdapat dari Qur’an surat 38 Shaad juz 23, ayat 22-23-24, dan adalah si Ahli yang dimaksud Nabi Daud.

Maka dengan kedatangan kedua orang bersaudara itu membawa perkaranya kepada nabi Daud, tahulah ia bahawa Tuhan mencubai dia, lalu meminta ampun kepada Tuhan, seraya terlingkup, tunduk dan kembali.

Bagi Nabi Daud kedatangan orang berdua saudara itu dianggapnya sebagai ujian dari Tuhan, maka adalah bagi kita yang datang kemudian dapat menunjukkan jalan yang betul-betul hendaknya seperti yang dikehendaki kedua bersaudara itu dengan tidak merugikan yang punyai seekor kambing dan yang telah punya sembilan puluh sembilan ekor itu mendapat pula yang dikehendakinya dengan tidak merugikan orang lain.


Bagiku, orang yang datang kemudian dan yang telah jauh berjalan telah banyak menjalankan dan telah banyak pula yang terjalankan dan sudah biasa berjalan sendiri, maka aku akan mengatakan:

Kepada yang telah punya 99 ekor kambing 
dan belum merasa cukup, 
cukupkanlah 
dengan apa yang ada padamu.

  • Dengan pandainya engkau mencukupkan dengan apa yang ada padamu, maka kamu tidak akan merugikan orang lain.

Kepada yang punya seekor, 
cukupkanlah saudaramu 
yang telah punya 99 ekor itu 
dengan apa yang ada padamu.


  • Dengan pandainya engkau mencukupkan saudaramu itu dengan apa yang ada padamu, maka engkau tidak akan merugikan dirimu sendiri. Kalau masing-masing tak tahu jalannya, maka sebaiknya. Bertanyalah  kepada yang  tahu.

       Untuk  yang  telah sampai mempunyai sebanyak 99 
       tetapi belum merasa cukup
       tandanya dia sudah 
       terlampau jauh berjalan keluar untuk mencari.

       
Maka untuk supaya dapat mencukupi dia harus berjalan ke dalam, ke dirinya kerana di dirinyalah letaknya kekurangan itu. 


Begitu pula yang punyai seekor kambing itu, dia harus berjalan keluar dengan dirinya untuk mencari kelebihan, supaya dia dapat mencukupkan yang kekurangan  dan tidak merugikan dirinya sendiri.

        
Dan kalau jalan yang sebenarnya telah ditemui, maka tiada yang sulit dan yang tak bisa di atasinya dengannya. Dari itu carilah jalan yang benar.

Berjalan ke dalam dimaksud ialah ke dalam rumah sendiri dan berjalan keluar ialah keluar rumah sendiri.

    
Maka adalah yang telah punya 99 ekor kambing itu, seumpama dahan-dahan kayu yang tak bebatang dan yang punya hanya seekor itu ialah batang kayu yang tak berdahan



Jadi yang dibutuhkan oleh dahan ialah batang, dan oleh batang ialah dahan. 
Apa sebab yang 99 tak berbatang oleh kerana datangnya atau diperdapat dari luar dan tatkala mencarinya badanlah dianggap batangnya. Oleh kerana itu walaupun berapa banyak sudah di perdapat namun keinginan untuk menambah lagi tetap mendatang atau mau lagi oleh kerana tidak puas atau belum puas.



Dan begitulah kesudahannya bagi seseorang yang mencari sesuatu, seumpama ada yang sudah dapat dalam bilangan 9 dan ingin mencari yang satu untuk pencukupan dan begitu pula ada yang telah lewat dari sepuluh, kerana yang dimintaknya satu untuk pencukupan, maka diperdapat dua, maka sampailah pula dia dalam bilangan sudah mencapai sebanyak 99 (sembilan puluh sembilan).


Yang mempunyai seekor kambing atau satu tidak mencari lagi keluar untuk menguatkan melainkan, dicukupkannya dengan apa yang ada padanya, yaitu batang tubuhnya beserta isinya oleh kerana dia mengerti akan yang satu itu.



Begitulah Tuhan dengan Rahsianya memberi beberapa contoh sebagai perumpamaan.




Cukupkanlah yang di luar dengan yang di dalam dan yang di dalam harus keluar untuk dapat mencukupi.

          


Dan begitulah setelah aku dapat memecahkan rahsia yang terkandung pada kesah yang ku kesahkan di atas dengan menunjukkan jalan yang betul kepada kedua orang bersaudara yang berselisih itu, maka untukku, aku perdapat pula pelajaran bagaimana cara  menghukum secara adil dengan tidak merugikan kedua belah pihak dan aku beruntung telah mendapat pula pelajaran menemui jalan untuk mencukupi diriku sendiri dan mencukupi diri orang lain dengan tidak merugikan diriku sendiri.

          


Dan begitu pula telah banyak orang yang aku bukakan jalan, aku tunjukkan jalan dengan membawanya berjalan. Selagi aku yang membawa mereka-mereka itu berjalan, semuanya berjalan dengan betul, akan tetapi mereka-mereka tidak mengerti. Buktinya setelah aku membawanya berhenti berjalan dan bertanya  apa yang telah dilakukan, aku tiada mendapat jawapan yang betul. Mereka tak dapat mengatakan apa yang telah dilakukannya, apa yang telah diperbuatnya dan apa yang telah dirasakannya. Mereka belum dapat memperbezakan antara yang satu dengan yang lain.



Kebanyakan mereka salah tangkapan. Kenyataannya, di waktu mereka berjalan sendiri-sendiri menggunakan jalanku, maka jarang mereka yang sampai dapat menemui tujuannya, kerana disamping dia menurutkan jalanku dia memakai jalannya sendiri pula, maka adalah hasilnya tidak memuaskan kerana dalam praktiknya telah berlaku kata pepatah : sering bertukar jalan. Perjalanan yang ku berikan padanya dicampur aduknya dengan jalannya sendiri yaitu gerak fikirannya.

          


Dan aku berjalan terus dan terus berjalan, berjalan sendiri, berjalan bersama-sama, membawa orang berjalan, menjalankan yang harus ku jalankan, sehingga telah banyak yang terjalankan olehku. Di dalam perjalanan yang jauh tetapi dekat, aku dapat menemui kisah perjalanan Nabi Musa dengan Nabi Haidir yang telah dikurniakan Tuhan Rahmat dan mendapat pengajaran ilmu pengetahuan (al Kahfi ayat 65).

            

Saya sangat tertarik akan kesah perjalanan dua orang Hamba Allah itu dan ingin sekali hendak  ikut menurutkan jejak perjalanannya. Semuga dengan dapat menurutkan jejak perjalanannya itu, aku akan mendapat pula pelajaran ilmu pengetahuan, seperti yang telah dikurniakan Tuhan kepada Nabi Haidir itu.

                 


Aku telah dapat menemui "Nya". Penemuanku padanya tidaklah seperti pertemuan Nabi Musa, yaitu di pertemuan permukaan dua laut. Melainkan kalau boleh ku katakan, aku telah dapat menemui "Nya" di pertemuan kiri dan kanan. Dan aku akan menurutkan jalannya sebagai mana yang dikehendakinya. Dan untuk badanku yang telah banyak melakukan perjalanan dan telah jauh berjalan telah banyak lurah yang dituruni, telah banyak bukit yang didaki, maka aku mencari kedudukan untuknya. Kasihan aku kepada badanku yang kurus lagi lemah itu. Dan aku berjalan  terus sebagai seorang "Pengembara". Suatu perjalanan yang pulang dan pergi ke pusat.


.

No comments:

Post a Comment