Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: Aku seorang "Pengembara" - page 142

Aku seorang "Pengembara", bukan seorang "Pengembala", kerana lain Pengembara dan lain pula Pengembala.


Si pengembala, sewaktu-waktu akan mempertanggung jawabkan pengembalaannya terhadap tuannya dan aku si Pengembara, bukanlah mengembara kian ke mari untuk bersamanya dan berpoya-poya mengecap kenikmatan hidup lahir sebagai yang dibawakan seorang tourist. 


Aku adalah seorang Pengembara yang tak punya, akan tetapi Tuhan kaya. 


Aku si Pengembara yang lebih banyak berguru kepada Pengalaman, mendudukkan badan diriku di mana aku berada sebagai seorang yang sewaktu-waktu bersedia memberi pertolongan kepada orang-orang yang mendatangiku dengan cara tindak laku perbuatanku sendiri, dengan jalan yang ada padaku sendiri. 


Sebagai seorang manusia, seluruh kegiatan perbuatanku itu adalah amalanku yang akan ku persembahkan ke Hadirat Tuhanku dan terhadap Nusa dan Bangsa dan sesama manusia.


Aku akan bergerak terus di bidangku sendiri bersama-sama atau aku berada sendirian; untuk orang banyak dan untuk ku sendiri.


Aku bergerak dengan kedua belah tanganku, dengan jariku yang sepuluh. Oleh kerana itu pula nama samaranku Si "Sepuluh". 


Dan terhadap Nya Tuhanku, Aku sentiasa menyusun jari yang sepuluh, menekunkan kepala yang satu, menghunjamkan lutut yang dua dengan tujuan memohon ampun sebanyak-banyaknya atas kesalahan-kesalahan yang telah Aku perbuat dengan sengaja atau tidak disengaja. 


Aku Si "Sepuluh" yang sentiasa menghamparkan tangan selebar-lebarnya terhadap Tuhan Yang Memerintah seluruh
Alam, dengan tiada daya upaya.


"Penyerahan",  sebulat-bulatnya 
segala apa yang ada padaku ke punyaan Nya. "Lillaaahirabbil 'alamin". Dan terhadap sesama manusia, aku membuka tangan menampung segala yang mendatang dan menyelesaikannya sedapat mungkin dengan sebaik-baiknya, dan mendudukkan segala sesuatu pada tempatnya.


Aku tadinya adalah seumpama benih yang baru ditanam, perkembangan dan pertumbuhanku ke dalam berurat dan berakar, keluar menimbulkan batang. Batang berdahan dan berdaun dan menghasilkan buah. Buahnya menjadi-jadi kerana ilmuku ialah ilmu padi; semakin berisi tunduk menjadi. Hendak padi tanamlah padi. Hendak beras padi ditumbuk. Untuk mendapat tepung buat bikin kuih, beras ditumbuk.


Kalau hendak mengenal dan menemui Aku, janganlah sekali-kali dengan pemecahan, melainkan dengan "pemisahan". 


Kalau aku dipecahkan, percayalah tidak akan terpecahkan dan akan membawa akibat kepada badan dirimu sendiri sebab di saat engkau mencuba memecahkan Aku, keadaannya sama juga seolah-olah engkau memecahkan badan dirimu sendiri. 


Jadi kalau hendak mengenal Aku yang sebenarnya, pelajarilah keadaanmu sendiri lebih dahulu, terdiri dari apa dan bagaimana cara memisahkannya antara yang satu dengan yang lain. 


Hasil dari pemisahan sangat berlainan dengan pemecahan, ku katakan padamu pisahkan lebih dahulu antara diri dan badanmu sampai engkau dapat mengenal dan menemui dirimu sendiri. Setelah engkau dapat mengenal dan menemui dirimu sendiri, pelajarilah akan keadaan dan rahsianya sehingga rahsianya menjadi rahsiamu dan sesudah itu berusaha pulalah untuk dapat mengenal dan menemui "aku" yang sebenarnya.


Dengan rahsia dirimu, dapat engkau merasakan yang mana yang diri dan yang mana yang badan. Dirikah yang berbadan atau badankah yang berdiri? Jawabnya ialah “Aku berbadan dan berdiri.”


Jadi, setelah engkau dapat mengetahui dan merasakan yang mana diri dan yang mana pula yang badan, maka hendaklah engkau ketahui bahawa adanya badan dan diri itu oleh kerana adanya "aku" di dalamnya.


Di mana aku beradanya? Dan bagaimana pula keadaanku? Aku berada bukan di badan tetapi di diri dan di diri itulah adanya aku yang laksana pelita, pelita itu di dalam gelas. Gelas itu kelihatan seumpama bintang yang berkilau-kilauan di langit. 


Aku dikelilingi oleh bintang-bintang yang berkilau-kilauan atau bintang-bintang yang bercahaya-cahaya bertaburan di sekelilingku. 


Untuk mengetahui keadaanku, perhatikanlah badan diriku. Aku akan tiada kalau badan diriku tidak ada. Badan diriku akan mati kalau aku tidak berada lagi di dalamnya.


.

No comments:

Post a Comment