Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR @ BBM: Petunjuk Petunjuk Untuk Kesempurnaan 5 - page 70

PETUNJUK-PETUNJUK UNTUK  KESEMPURNAAN (5)

    Satu tetapi dua, contoh stroom dengan kabel (wire).


   Itulah di antaranya Rahsia dari diri kita, gantung-bergantung satu sama lain, butuh-membutuhkan, memberi dan menerima, yang diberi rahmat, yang diterima nikmat. Sudahkah kita menemui tali yang dimaksudkan? 


     Untuk menjawab pertanyaan ini, kita kembali kepada jalan yang telah ditemui, iaitu setelah dapatnya kita keluar menembus alam zahir kita sendiri melalui hujung jari-jari kita.


     Setelah pintu terbuka dan jalan telah ditemui, apa kita terus berjalan keluar mencari apa yang dihajati? Untuk ini kita harus berhati-hati sangat, kerana kita harus meneliti lebih dahulu jalan yang telah ditemui itu, kerana bagi zahir kita adalah itu sesuatu yang baharu, yang belum pernah dikenal sebelumnya, akan tetapi yang pasti sudah adalah itu jalannya diri kita dari dalam menembus alamnya sendiri.


    Sebelum kita bergerak keluar pada jalannya, maka terlebih dahulu hendaklah kita bergerak ke dalam dengan jalannya guna untuk mengetahui keadaan diri kita sendiri di dalam. Untuk ini hendaklah perbuatan kita itu dilakukan dengan berulang-ulang sebagai latihan, sehingga kita dapat mengetahui bahawa apa yang ada di badan kita ada pula didiri kita, atau kita sampai dapat mengetahui bahawa diri kita itu terdiri dari seperti apa yang ada di badan kita. 



    Kita terus berlatih sampai terlatih, sampai kita mengenal akan peribadi sendiri, dan diri sendiri yang berbuat, dan sampai diri mengenal badannya yang kasar. Peralihan dari badan mengenal diri dan dari diri mengenal badan dapat kita ketahui - kita lakukan dan fahami hendaknya dengan pandainya kita membawakannya. Kita lakukan dengan mengadakan perjalanan. Jalan yang kita pakai iaitu jalan yang sudah ditemui dan kalau kita berjalan meninggalkan pangkalan, kita mesti pandai pula hendaknya kembali ke pangkalan dengan tidak sesat. 


  Latihan yang saksama dan teliti, menyebabkan kita mengenal dan menemui diri sendiri dengan perlengkapannya
dan penemuan kita pada diri dan perlengkapannya bererti kita telah menemui diri rohani kita yang merupakan gambaran dari jasmani di dalam badan kita. 



     Kita sekarang telah mengenal Rohani dan telah mengenal pula badan atau jasad atau yang dinamakan jasmani.



  Jalan yang kita pakai dan pergunakan untuk mencari diri dengan perlengkapannya dan sampai kepada penemuan kita kepada rohani kita sendiri, kalau diteliti dengan saksama adalah jalan itu aliran dari rohani kita sendiri yang bertitik-tolak dari diri kita sendiri. Tindak laku perbuatan kita ini kalau diumpamakan tak ubahnya seperti kita memudiki sungai semenjak dari muara dengan menempuh jalan yang berliku-liku kita mencari hulunya. Dan apa sebabnya setitis air yang begitu bersih dan jernih berasal dari gunung, bertambah dekat ke muara jauh dari hulu menjadi keruh dan mengandung bermacam-macam kuman-kuman? 



    Begitu pula diri kita di dalam yang tadinya suci bersih, oleh kerana tindak-laku perbuatan kita sehari-hari dalam menjalankan kehidupan berubah corak warnanya, ibarat intan terbenam di dalam lumpur.



 Maka adalah kewajipan tiap-tiap kita yang mencari dan menuju kepada kebaikan dan kesempurnaan sebelum melangkah bersihkanlah lebih dahulu diri dengan tindakan dan perbuatan dan terhadap Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang bacalah istighfar sebanyak mungkin


    Diri peribadi kita masing-masing adalah suci dan bersih, kerana datangnya dari yang Maha Suci. Tindak laku perbuatan kitalah yang menjadikan dia kotor atau tetap bersih. Intan telah terbenam ke dalam lumpur. 



 Penelitian kepada jalan yang telah ditemui dan mempelajarinya dengan saksama, maka kita akan dapat mengetahui bahawa adalah dia itu pancaran dari kita sendiri dari dalam yang telah dapat menembus alamnya sendiri. Pancaran tersebut adalah ibarat stroom dan sebagainya. Jalan yang kita katakan itu ialah kabelnya. Stroom yang kita temui itu bukanlah seperti stroom elektrik yang berasalkan dari benda mati bikinan kita manusia, melainkan berasalkan dari zat-zat hidup yang dinamakan orang bio-elektrositat atau elektromagnetik. 


  Dan adalah tenaga yang keluar ini yang berasal dari elektron-elektron hidup, dinamakan tenaga ghaib atau dengan bahasa asingnya meta-energy.



  Dengan uraian kita tersebut di atas, maka kalau kita menurutkan aliran yang dinamakan jalan atau kabel yang mengandung stroom itu, maka kita temuilah tali yang dihuraikan pada huraian kita sebelum ini, iaitu yang dikatakan bertali tetapi tiada tergantung, dan kalau diturutkan terus sambil mempelajari dengan saksama maka akan bertemulah pula dengan yang tergantung tiada bertali.



  Kita telah menemui diri kita yang tergantung tiada bertali, bertali tiada tergantung dan untuk membuktikan yang diri itu tegak seperti alif yang duduk seperti wau maka kita harus menurutkan gerak aliran diri itu di dalam, sehingga kita dapat menemui yang duduk seperti wau dan tegak seperti alif yang itu. 

   Untuk dapat dimengerti dan diketahui maka yang bertali tiada tergantung dan tergantung tiada bertali dapat kita temukan dengan perantaraan gerak aliran tangan kita yang diturutkan dan yang duduk seperti wau dan tegak seperti alif dapat kita temukan dengan menurutkan gerak diri di dalam batang-tubuh kita setelah gerak tangan berhenti.

.

No comments:

Post a Comment