Wednesday, November 19, 2014

BAPAK BAGINDA MUCHTAR@ BBM: "Doa darimu, perkenan dariku" - page 181



Isilah badan dirimu dengan apa yang ada padamu dengan mempergunakan jalanku, dengan menyebut nama "Allah". Dengan jalan bertingkat, sambung-menyambung iaitu dari luar ke dalam.


  • Tingkat pertama badan (jasad), 
  • kedua otak, 
  • ketiga empedu, 
  • keempat limpa, 
  • kelima rabu (paru-paru), 
  • keenam hati, 
  • dan ketujuh jantung. 


Dan dari dalam ke luar : 

  • dari jantung ke hati, 
  • dari hati ke rabu, 
  • dari rabu ke limpa, 
  • dari limpa ke empedu, 
  • dari empedu ke otak 
  • dan dari otak ke seluruh badan. 


Selagi orang berjalan bersama aku, aku sentiasa mendampinginya. Akan tetapi di waktu orang berjalan pada jalannya sendiri, aku berjalan pada jalanku pula. Kalau ada orang mengingat aku, aku akan mengingatnya pula. Orang berdoa, aku berdoa pula. Orang berdoa dengan menyatakan (melafazkan) doanya. Aku berdoa beserta orang, dalam hati. Alangkah baiknya jika orang berdoa dengan aku. Beserta aku, kumaksud berdoa dengan jalanku. "Doa dari mu, perkenan dari ku", kata Tuhan. 



Segala perbuatan orang akan berkesan padaku. Dan segala perbuatanku akan berkesan pada orang. Akulah nanti yang akan menghadap Tuhanku. Akulah yang akan kembali ke haribaanNya. Akulah yang akan kembali ke PangkuanNya, ke Hadirat Nya. Aku dengan wajahku. Aku sebagai seorang manusia, tak dapat banyak berbuat, kerana badanku lemah. Aku dengan diriku yang kukemukakan telah banyak berbuat apa yang harus ku perbuat dan melakukan apa yang dapat ku lakukan. Banyak orang tak mengerti padaku dan banyak pula yang salah menganggap aku. 



Ini disebabkan aku dengan badanku jarang keluar dan lebih banyak tinggal dalam rumah. Tetapi aku didatangi orang dan amat jarang aku mendatangi orang ke rumahnya. 



Dan bermacam-macam pula orang mendatangkan persoalannya padaku. Apa-apa yang mendatangi ku itu aku tampung kesemuanya dan aku lakukan apa yang dapat kuperbuat. Dan adalah bagiku yang melakukan dan berbuat itu aku dengan diriku. Aku lebih suka ke dalam daripada keluar. Yah, memang di dalam tempatku. Dari dalamlah, dari tempatku, aku memandang keluar, aku memerhatikan dan mempelajari keadaan alamku dan alam sekelilingku. Lain kerja orang dan lain pula kerjaku. Orang berfikir dan berusaha. Aku berasa dan berbuat. Aku sebagai orang, berfikir, berasa dan berbuat. Aku mencari rasa dengan perasaan ku. Dari itulah maka Aku mengatakan pada orang lain, orang mencari yang ada, aku mencari yang tak ada. Aku melahirkan perasaanku, apa yang terasa padaku, sampai nyata terasa. Dan sebagai seorang manusia, aku pun melahirkan kehendakku. 



Dapatkah aku melahirkan kehendak orang? Kenapa tidak, bukankah selama ini seluruh kegiatanku teruntuk untuk orang yang dimaksud? Hanya saja orang tak mengerti bahawa aku ada di dalamnya. Otaknya dipergunakannya untuk memikirkan hal-hal yang di luar, bukan memikirkan aku yang ada di dalam. Dapatkah aku melahirkan dan menyampaikan kehendak orang lain? Kenapa tidak, bukankah orang lain itu "aku" juga? Apa yang ada pada orang itu ada pula padaku, bukan? Hanya mereka-mereka  itu tidak tahu. 



Aku mu dan aku ku sama. Tempat kelahiran dan kehadiran berlainan. Kelahiran mu dari rahim bonda mu dan kehadiran mu di tempat mu, di mana engkau berada. Kelahiran ku dari rahim bonda ku pula dan kehadiranku di tempat ku pula. Di mana aku berada? Wahai orang luar, cubalah teka. Padaku ada jalan, jalanku sendiri, jalan rasa. Di luar ku lihat ada pula jalan, jalan orang banyak,  jalan nyata. Aku berjalan pada jalan nyata dengan jalan rasa. 



Bagi orang yang tahu dan yang mahu tahu, ku katakan, adalah aku di dalam, di tempatku, di tengah-tengah dada. Sebelah kananku saudaraku Si Putih dan saudaraku Si Kembar (dua) Si Merah. Sebelah kiriku, saudaraku Si Hitam dan satu lagi biarlah aku namakan saja Si Cukup atau Si Lengkap yang akan mencukupi atau melengkapi segala-galanya, kerana dari dialah sumber segala-galanya kegiatan-kegiatan hidup di dalam, dan padanyalah terletak pertanda bagi orang luar, hidup matinya seseorang. 



Dan selanjutnya dapat aku mengatakan terhadap orang luar, bahawa adalah apa yang ku sebut itu kelima-limanya, ilmuku di dalam yang mempunyai alam sendiri-sendiri yang tali-bertali. 



Dan keluarnya dengan lima (5) jalan pula, jalan tinggi. Maka padaku adalah 5 jalan dalam dan 5 pula jalan luar lagi tinggi. Itulah makanya aku menamakan diriku "Si Sepuluh". Itulah dia "ilmuku",  keluar dan ke dalam, zahir dan batin. 



Dari siang ke malam, dari malam ke siang, dari burung ke telur, dan dari telur ke burung. 




*  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *  *



.



No comments:

Post a Comment